KATHMANDU: Rakyat Malaysia yang ingin melakukan aktiviti trekking di Banjaran Himalaya, khususnya di kawasan berketinggian tinggi, dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap keadaan persekitaran serta risiko Acute Mountain Sickness (AMS) atau penyakit altitud yang boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira tahap kecergasan.
Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Kathmandu, Mohammad Firdaus Azman, berkata kebanyakan kejadian kemalangan dan kematian yang berlaku dalam kalangan pendaki di kawasan pergunungan Nepal mempunyai kaitan dengan faktor altitud, termasuk serangan AMS yang boleh menjadi serius sekiranya tidak dikenal pasti dan ditangani pada peringkat awal.
Menurut beliau, rakyat Malaysia yang merancang untuk melakukan aktiviti trekking di Nepal perlu mempunyai pengetahuan asas mengenai AMS, termasuk mengenali tanda-tanda awal penyakit berkenaan, melakukan persediaan fizikal yang bersesuaian, mendapatkan nasihat perubatan serta membawa ubat yang diperlukan.
Beliau turut menasihatkan pendaki supaya menggunakan khidmat operator trekking tempatan yang berdaftar dan berpengalaman bagi memastikan perjalanan mereka mendapat pemantauan serta bantuan sewajarnya sepanjang berada di kawasan pergunungan.
“Bagi aktiviti trekking di kawasan pergunungan Nepal, saya tidak menggalakkan rakyat Malaysia melakukannya secara bersendirian atau sebagai backpacker tanpa sokongan pihak yang berpengalaman kerana risikonya amat besar sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis meraikan kejayaan dua kumpulan pendaki Malaysia yang berjaya menjalankan ekspedisi ke Mardi Himal Base Camp dan Everest Base Camp, di sebuah hotel di Kathmandu, malam tadi.
Kedua-dua kumpulan berkenaan berdepan pelbagai cabaran dan perubahan keadaan cuaca yang tidak menentu di Banjaran Himalaya, termasuk salji tebal, hujan salji, hujan lebat berpanjangan serta kejadian tanah runtuh yang menjejaskan beberapa laluan trekking.
Kumpulan HAROK Adventure yang dianggotai sembilan peserta, pada awalnya merancang untuk melakukan pendakian ke Annapurna Base Camp (ABC). Bagaimanapun, mereka terpaksa menunggu selama empat hari di Pokhara berikutan keadaan laluan yang terjejas dan berbahaya akibat cuaca serta tanah runtuh.
Atas faktor keselamatan, kumpulan berkenaan akhirnya membuat keputusan menukar destinasi kepada Mardi Himal Base Camp pada paras ketinggian 4,500 meter Mereka berjaya menamatkan pendakian dalam tempoh empat hari sebelum kembali ke Pokhara dengan selamat.
Sementara itu, sembilan peserta daripada kumpulan Everest Base Camp (EBC) turut berdepan keadaan cuaca yang mencabar apabila salji semakin tebal di kawasan pendakian.
Kumpulan berkenaan hanya mampu meneruskan pendakian sehingga Dingboche pada paras 4,410 meter, sebelum keadaan cuaca dan salji yang semakin buruk menyebabkan mereka terpaksa menghentikan pendakian serta turun semula demi keselamatan.
Walaupun tidak dapat mencapai destinasi akhir seperti yang dirancang, kedua-dua kumpulan pendaki Malaysia itu tetap berjaya mengharungi cabaran pendakian yang mencabar dan mengambil keputusan untuk mengutamakan keselamatan dengan mematuhi arahan kerajaan Nepal serta pihak berkuasa tempatan.
Keputusan untuk berpatah balik atau menukar laluan bukanlah satu kegagalan, sebaliknya merupakan tindakan bertanggungjawab dalam menghadapi keadaan cuaca ekstrem dan risiko keselamatan di kawasan pergunungan tinggi.
Kedua-dua ekspedisi ke Mardi Himal Base Camp dan Everest Base Camp berkenaan dikendalikan oleh operator tempatan, Pendaki Solo Tours, yang diterajui oleh pendaki dan pengembara berpengalaman, Mohd Noor Mat Amin, atau lebih dikenali sebagai Pendaki Solo, bersama isterinya, Drupati Pun.
Pihak operator turut menekankan bahawa faktor keselamatan perlu menjadi keutamaan dalam setiap ekspedisi trekking, khususnya di kawasan altitud tinggi yang mempunyai perubahan cuaca pantas dan keadaan laluan yang sukar dijangka.






No comments:
Post a Comment